Thursday, October 22, 2009

Bila sakaratulmaut tiba


Petang tadi aku dikejutkan oleh sms Kak Is. Katanya Cikgu Junai meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilahi raji'un. Aku pun terus telefon Kak Is. Kak Is kata Cikgu Junai meninggal dunia dalam rumah. Dia tinggal seorang, bujang lagi. Arwah memang ada penyakit. Memang dah lama tak nampak dia kat sekolah, tapi tak sangka pulak dia takde di sekolah sebab dia dah tak ada lagi di dunia ni. Al-fatihah buat arwah.

3 perkara yang anak Adam tinggalkan apabila menyahut seruan Ilahi : anak soleh yang mendoakannya, sedekah jariah, dan ilmu yang bermanfaat.

Anak soleh yang mendoakan? Kalau mati dulu sebelum dapat anak? Kalau ada anak, tapi anak tak soleh? Bukan senang untuk mendidik anak sehingga menjadi soleh, tapi tidak mustahil, perlukan mujahadah dan sandaran kepada Allah.

Semalam aku baru pulang dari menjadi fasilitator untuk sebuah program. Peserta daripada kalangan pelajar sekolah menengah agama. Dah dua kali program, expectation aku selalu salah dengan realiti.

Sedih dan amat menakutkan keadaan remaja sekarang. Sedangkan yang dididik dengan biah Islam pun begitu apatah lagi yang lain. Bukan untuk bersangka buruk tetapi itulah hakikat yang berlaku. Fitnah yang menimpa kita, anak-anak kita, Islam semakin jauh daripada kehidupan!

Di awal program, ada yang ponteng solat. Agaknya kalau tidak diperiksa seorang demi seorang, ada lah tu yang tinggal solat. Kalau fikir-fikir, macam mana dia boleh berani tidak solat? Yang haram pun berani buat. Inikah yang dikatakan Islam hanya pada nama? Islam kerana keturunan. Tidak lagi dalam hati.

Semua pihak perlu mainkan peranan. Bermula dari dalam rahim lagi, si ibu perlu jaga sumber makan minum yang akan jadi darah daging anaknya. Zikir-zikir yang akan membentuk anaknya. Di rumah, di sekolah, masyarakat - semuanya perlu membantu bagi membina individu TAQWA.

Dari sekolah rendah lagi, perlu biasakan anak-anak dengan solat. Memang kalau datang SBT tu, takdenya budak-budak ni nak zuhur dulu. Jadi sebagai cikgu, jangan ambil ringan, mentang-mentang kecil lagi, biarkan je. Bagi masa untuk solat. Aku percaya, kat rumah pun solat tu tidak dititikberatkan, kalau tidak macam mana dia pergi sekolah tidak solat dulu. Mak ayah sepatutnya biasakan anak-anak, kalau nak keluar ke, nak main ke, mesti solat dulu.

Kalau dilihat sirah terdahulu, bagaimana Saidina Umar berpesan kepada Sa'ad untuk memeriksa solat tenteranya. Umar tidak takut kepada kekalahan tetapi takut kepada fitnah tentera yang tidak solat.

Adab berdoa pun kena ajarkan juga. Ni yang dah besar-besar, dah sekolah menengah. Nak tadah tangan baik-baik pun malas. Kalau bersila, tangan tu dah cecah lantai, lagi rendah daripada ibu jari kaki dia. Kenapa jadi macam tu ye? Kalau budak-budak sekolah rendah ni pulak, mulut je terkumat kamit baca doa, tangan dalam poket, garu kepala lah, macam-macam gaya. Jadi, jangan pernah rasa letih dan putus asa nak tegur. Yang kecik-kecik ni bentuk sampai jadi. Kalau mak ayah kat rumah tak boleh nak ajar, biar kita cikgu-cikgu ni jadi mak ayah dia. Buat macam anak sendiri.

Sakit dada bila fikir masalah anak-anak sekarang. Tercemar sangat-sangat. Bila duduk bincang dengan sahabat-sahabat, antara faktor penyumbang adalah pemakanan. Ada di antara mereka ni pandai 'minum'. Memang pun, apabila berbual-bual dengan anak-anak yang kat sekolah rendah ni pun, sambil-sambil mengajar kalau ada topik yang berkaitan halal haram, bila kita kata ni tak boleh, tu tak boleh, anak-anak ni cakap, bapak saya minum air mabuk, abang saya minum air mabuk. Makan kera, makan buaya. Tu yang muslim. Jadi, apa kita boleh buat? Kita bagitau dia, orang Islam tak boleh makan ni, tak boleh makan tu, kalau ada kat rumah, jangan ambil. Selalu kena tanya tentang solat. Memang kena tanya selalu. Ingatkan pakai pakaian yang menutup aurat, dan sebagainya..

Hidayah Allah tu kalaupun tak datang sekarang, jangan kita rasa benci dengan kejahilan anak-anak ini, jangan kita rasa lelah mendidik dan memberi pesan, mungkin suatu hari nanti, Allah bukakan juga pintu hati mereka. Kalaupun tidak pada mereka, pada zuriat keturunan mereka. Selalulah berdoa, dan teruskanlah 'bekerja'!! Ikhlaskanlah hati, kalau tidak sia-sialah amalan. Jauhilah sum'ah, tiada nilainya pandangan manusia ni, usah dicari redha manusia, tapi tagihlah redha Allah!!

No comments: